Kamis, 19 Juli 2012

Nama Ahli Tafsir dari Kalangan Sahabat

Oleh: Abu Abdillah (Mohd Riduan bin Khairi)

Autoriti dan Keutamaan Tafsir Sahabat Nabi Muhammad

Imam Asy-Syafi’i berkata,
Mereka (para sahabat) mengatasi kita dalam ilmu, ijtihad, wara’, kecerdikan dan dalam hal-hal yang memerlukan ilmu pengetahuan dan pengambilan hukum”.
Al-Zarkasyi pula dalam kitabya al-Burhan fi Ulumil Qur’an,
Penafsiran sahabat perlu diberi perhatian, sekiranya tafsiran dibuat dari sudut bahasa maka mereka adalah ahli bahasa. Dan sekiranya tafsiran berkaitan dengan sebab-sebab kenapa sesuatu ayat itu diturunkan, maka ia tidak boleh dipertikaikan lagi”.
Al-Hafidz Imam Ibnu Kathir juga menyebutkan tentang keutamaan tafsir para sahabat di,
Metode penafsiran yang paling benar, yaitu penafsiran al-Qur’an dengan al-Qur’an. Jika anda tidak dapat menafsirkan al-Qur’an dengan al-Qur’an, maka hendaklah anda menafsirkannya dengan hadith. Dan jika tidak menemukan penafsirannya di dalam al-Qur’an dan hadith, maka hendaklah merujuk pada pendapat para sahabat, karena mereka lebih mengetahui berdasarkan konteks dan kondisi yang hanya merekalah menyaksikan nya, selain itu mereka iuga memiliki pemahaman yang sempurna, pengetahuan yang benar, dan amal shalih. Namun jika tidak ditemukan juga, maka kebanyakan para imam merujuk kepada pendapat para Tabi’in dan Ulama’ sesudahnya.”


Ahli-ahli Tafsir Dari Kalangan Sahabat yang Terkenal
Sekumpulan para sahabat amat dikenali kerana cerdas dan bijak dalam mentafsirkan ayat Al-Qur’an. Antara mereka ialah empat khalifah Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib (semoga Allah redha kepada mereka semua). Ini dinyatakan oleh Imam Suyuti dalam kitabnya al-Itqan fi Ulum Al-Qur’an. Namun begitu tidak laporan tafsir diterima dari 3 khalifah yang pertama. Ini lantaran, mereka sibuk dengan urusan pemerintahan negara. Selain itu, keperluan untuk mencatat tafsir mereka ketika itu masih belum ada, memandangkan ramai orang yang mengetahui ilmu tafsir.

Selain empat orang sahabat ini, beberapa sahabat lain juga sering dirujuk dan dijadikan panduan dalam ilmu tafsir. Mereka ialah Abdullah bin Mas’ud dan Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Zubair, Zaid bin Thabit, Ubay bin Kaab dan Abu Musa Al-Asy’ari.

Ali bin Abi Talib (semoga Allah redha kepada beliau) wafat tahun 40 H
Ali bin Abi Talib mempunya banyak keutamaan. Ahlus Sunnah wal Jama’ah sepakat keutamaan Ali bin Abu Talib selepas Abu Bakar, Umar dan Uthman. Beliau termasuk dari 10 orang sahabat nabi yang dijanjikan syurga.

Beliau dikenali dengan sifat berani dan fikiran yang cerdas. Beliau menyertai kebanyakan peperangan bersama-sama Nabi Muhammad. Bahkan merupakan pemegang bendera dalam kebanyakan peperangan.
Ali adalah sahabat yang paling banyak tafsiran Al-Qur’an, lantaran kelapangan masa dan tidka terikat dengan jawatan khalifah sehingga akhir khalifah Uthman. Lebih-lebih lagi usia beliau yang panjang memungkinkan beliau memberi sumbangan dalam periwayatan tafsir kepada umat Islam.

Abdullah bin Abbas, seorang sahabat muda yang cerdas yang juga sepupu beliau menyebutkan,
“Ilmu tafsir yang aku kumpul adalah dari Ali Bin Abi Talib” dan beliau juga berkata,
“Sekiranya datang keterangan daripada Ali, kami tidak akan mencari yang lain”.
Pada suatu ketika Ali dilaporkan pernah mengajak umat Islam untuk belajar tafsir langsung daripadanya,
“Tanyalah aku, tanyalah aku dan tanyalah kepada aku tentang kitab Allah. Demi Allah, tidak ada satu ayatpun kecuali aku tahu waktu mana ianya turun, sama ada malam atau siang.”
Namun begitu wujud juga laporan-laporan tafsir yang palsu disandarkan kepada Ali. Ini dilakukan golongan Syiah demi menegakkan pemikiran mereka yang sesat.

Abdullah bin  Abbas (wafat 68 H)
Beliau merupakan kanak-kanak cerdas yang membesar pada zaman Nabi. Lahir 3 tahun sebelum hijrah. Ini bermakna beliau hanya sempat hidup bersama nabi selama 13 tahun sahaja.

Beliau didoakan oleh nabi, “Ya Allah! Kurniakan dia kefahaman dalam agama”.

Berkat doa Rasulullah dan juga ketekukan beliau menuntut ilmu, akhirnya beliau dikenali sebagai sahabat yang cerdas dan bijak. Walaupun pada usia yang sangat masih muda, beliau tetap dijadikan rujukan oleh sahabat-sahabat yang lebih dewasa.

Abdullah bin Mas’ud pernah memujinya,
“Abdullah bin Abbas adalah sebaik-baik pentafsir Al-Qur’an. Sekiranya dia sebaya kami, pasti tidak seorangpun daripada kami yang dapat menandinginya”.
Abdullah bin Umar pertanya ditanya tentang tafsir suatu ayat, maka beliau mengarahkan supaya ditanya kepada Abdullah bin Abbas,
“Pergilah berjumpa Abdullah bin Abbas dan tanyalah dia. Sesungguhnya dialah orang yang paling mengetahui tentang wahyu yang turun ke atas Nabi Muhammad sekarang ini”. Dan pada ketika yang lain Abdullah bin Umar berkata,

“Abdullah bin Abbas adalah umat Muhammad yang paling mengetahui mengenai apa yang diturunkan kepada Muhammad”. (Imam Az-Zahabi, Tafsir wa Mufassirun)
Manakala seorang tabi’in terkenal Ato’ bin Abi Rabah memuji Abdullah bin Abbas yang menjadi gurunya,
“Aku tidak pernah melihat majlis ilmu yang lebih mulia daripada majlis ilmu Abdullah bin Abbas yang dipenuhi kefahaman dan diselubungi rasa takut kepada Allah. Penuntut ilmu fikih, tafsir dan syair menghadiri majlisnya. Beliau memenuhi hajat mereka daripada lembah ilmu yang luas”.
Begitu pula pujian seorang tabi’in , Abu Wa-il,
“Abdullah bin Abbas, sebagai pemimpin jemaah haji yang dilantik oleh Uthman telah membaca khutbah semasa musim haji. Beliau membacakan surah an-Nur membaca satu demi satu ayat dan mantafsirkannya. Tidak pernah aku lihat mahupun mendengar percakapan seperti lelaki itu. Kalaulau Parsi, Rom, dan Tukri mendengar kata-katanya, pasti mereka akan memeluk Islam”.
Antara anak murid beliau yang terkenal meriwayatkan tafsir darinya ialah Mujahid bin Jabr, Ikrimah, Ato’ bin Abi Robah dan Said bin Jubair.

Abdullah bin Mas’ud (wafat 32 H)
Abdullah bin Mas’ud merupakan antara orang yang awal memeluk Islam. Beliau terlibat dalam dua hijrah yakni Hijrah ke Habsyah dan hijrah ke Madinah. Beliau mengambil secara langsung 70 surah Al-Qur’an seperti yang direkodkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Sahihnya.

Ketika mula-mula Nabi Muhammad berkenalan dengan Abdullah bin Mas’ud, beliau sudah mengesan kebijaksanaan dan kecerdasan Abdullah bin Mas’ud. Kata Nabi,
“Sesungguhnya engkau seorang budak yang akan menguasai ilmu” (HR Ahmad, hassan menurut Syuaib Arnauth)
Abdullah bin Mas’ud menguasai Al-Qur’an dan tafsirannya lantaran beliau sering mendampingi nabi. Seperti yang diceritakan oleh Abu Musa Al-Asy’ari, “Aku dan saudara lelakiku datang dari Yaman. Dan ketika kami datang, kami menyangka Abdullah bin Mas’ud dan ibunya adalah termasuk ahli keluarga (ahli bait) Rasulullah kerana mereka berdua sering masuk dan berada di rumah Rasulullah”. (Sahih Muslim)
Dalam peristiwa yang lain Abu Musa bercerita lagi, “Abdullah bin Mas’ud memang selalu bersama Rasulullah ketika kita tidak turut serta, dan beliau diizinkan masuk ke rumah nabi ketika kita tidak diizinkan masuk”. (Sahih Muslim)

Selain sering mendampingi nabi, Abdullah bin Mas’ud gigih menuntut ilmu Al-Qur’an. Katanya,
Para sahabat Rasululah tahu bahawa aku paling pandai di antara mereka tentang Kitab Allah. Seandainya aku tahu ada orang yang lebih pandai dari aku, maka aku akan pergi berjumpa dengannya (untuk berguru)”. (Sahih Muslim)
Kata nabi lagi memuji Abdullah bin Mas’ud,
Sesiapa yang ingin membaca Al-Qur’an persis ketika ia diturunkan, maka bacalah mengikut bacaan anak Ummu ‘Abd (Abdullah bin Mas’ud)”.
Abdullah bin Mas’ud sendiri pernah melaporkan hadith dari nabi,
Pelajarilah Al-Qur’an dari empat orang ; 1) Ibnu Ummi ‘Abd (Abdullah bin Mas’ud), 20 Ubay bin Kaab, 3) Salim, bekas budak Hudzaifah, dan 4) Muadz bin Jabal” (Sahih Muslim)
Beliau dihantar oleh Khalifah Umar untuk mengajar agama di Kufah. Orang-orang Kufah mendapat manfaat dari luas dan dalamnya ilmu Abdullah bin Mas’ud Antara tabi’in di Kufah yang menjadi anak muridnya yang terkenal termasuklah Qatadah, Alqomah, Asy-Sya’bi dan Masruq.

Ubay bin Kaab (w 30 H)

Ubay bin Kaab merupakan juru tulis pertama bagi Nabi Muhammad setelah berhijrah ke Madinah. Beliau sempat mengkuti Perjanjian Aqabah dan termasuk sahabat yang menyertai Perang Badar.

Ubay ialah Sayyid Qurra, salah seorang penulis wahyu Nabi Muhammad sehingga nabi mengatakan, “Yang paling baik bacaan Al-Qur’an dari kalangan mereka ialah Ubay”.

Sahabat Anas bin Malik melaporkan,
Pada masa Rasulullah ada empat orang yang menghimpunkan Al-Qur’an, yang semuanya dari kaum Ansar. Mereka ialah Mu’adz bin Jabal, Ubay bin Kaab, Zid bin Thabit dan Abu Zaid”. (Sahih Muslim)
Antara anak murid beliau ialah Zaid bin Aslam, Abu Aliyah dan Muhamamad bin Kaab al-Khurodi.
Rujukan
  1. Bagaimana Memahami Al-Qur’an. Muhammad Jamil Zainu. Terjemahan Salafudin Aj. Pustaka Al-Kautsar, Jakarta (2006).
  2. Fahami Al-Qur’an Menurut Kaedah Para Ulama’. Mohd Sabri Mohamed.  Karya Bestari, Shah Alam (2007).
  3. Pengantar Usul Tafsir. Dr. Fauzi Deraman dan Mustaffa Abdullah. Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur (2006).
  4. Pengenalan Ringkas Ususl Tafsir. Muhammad bin Soleh al-Uthaimin. Terjemahan Fadlan bin Mohd Othman. Jahabersa, Johor Bahru (2005).
  5. Tafsir Ibnu Katsir (jilid 1). Peneliti ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Abdurrahman bin Ishaq Alu Syaikh. Terjemahan Pustaka Imam Asy-Syafi’i, Jakarta (2005)
  6. Ringkasan Sahih Muslim. Muhammad Nasiruddin al-Albani. Gema Insani, Jakarta.
sumber: http://kitabtafseer.wordpress.com

Tidak ada komentar:

Posting Komentar